14 Maret, 2012

Nelayan Malaysia Bebas di Penjara Medan

Ibrahim @ Awang Pa Deraman, nelayan Malaysia yang dapat menghirup udara segar sejak Sabtu lalu setelah dipenjarakan selama tiga tahun setengah di Medan, Sumatera Utara, akan pulang ke tanah air petang ini.
Konsul Jeneral Malaysia di Medan, Norlin Othman, berkata Ibrahim akan berlepas dari Lapangan Terbang Antarabangsa Polonia Medan dengan penerbangan AirAsia pada 5.55 petang waktu tempatan, dan dijadual tiba di Terminal Penerbangan Murah (LCCT), Sepang pada 7.55 malam waktu Malaysia.
"Semua urusan dokumen perjalanan beliau telah dapat diselesaikan dan pihak kami telah membantu membelikan tiket penerbangan beliau melalui sumbangan Pemuda Umno Bachok.

"Petugas kami sudah pergi menemui Ibrahim di Depot Imigresen Medan pagi ini membawa pakaian beliau dan akan juga mengiringi beliau ke lapangan terbang petang ini," kata Norlin ketika dihubungi Bernama dari sini, Selasa.

Konsul Jeneral Malaysia itu berkata ketibaan Ibrahim di LCCT dijangka disambut isterinya Zaiton Haron serta adik lelaki beliau.

Ibrahim, 58, yang berasal dari Bachok, Kelantan, telah dihukum penjara tiga tahun enam bulan oleh sebuah mahkamah di Medan pada 2009 dan denda Rp2 bilion (RM700,000) atau tambahan enam bulan penjara lagi, setelah dapati bersalah menangkap ikan 20 kg di wilayah Indonesia di tengah-tengah perairan Selat Melaka pada 25 Jan 2009.

Pembebasan beliau adalah lebih awal daripada tempoh hukuman selama empat tahun yang sepatutnya beliau jalani, setelah Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan berusaha mendapatkan kelulusan remisi (pengurangan masa tahanan) terhadap hukuman itu daripada pihak berkuasa Indonesia.

Norlin berkata sepanjang tempoh Ibrahim menjalani hukuman penjara, pihak Pejabat Konsulat Jeneral Malaysia di Medan sering melawat beliau.

"Pihak kami sentiasa membantu rakyat Malaysia yang menghadapi masalah di sini, sekiranya ada pihak-pihak yang ingin turut membantu, sila selaraskan bantuan-bantuan itu dengan pihak kami," katanya. - BERNAMA

Tidak ada komentar: